Kerjaya Politik Simon Ooi Tze Min

Aktivis Pelajar

Simon merupakan seorang aktivis pelajar yang terkenal semasa zaman universiti beliau. Pada tahun 2006, beliau pernah memegang jawatan Naib Presiden dalam Persatuan Bahasa Cina UPM dan Penyelaras dalam pertubuhan Student Progressive Front UPM. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Pentadbiran dalam Gerakan Demokratik Belia & Mahasiswa (DEMA) pada tahun 2007. Antara insiden yang tersohor selaku seorang aktivis pelajar, Simon pernah dituduh sebanyak 7 tuduhan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) kerana memulakan pergerakan bantahan dan boikot terhadap ketidakadilan dalam pilihanraya kampus di UPM.

Penglibatan Awal dalam Politik

Simon memulakan perjalanan politiknya dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 2008. Selepas menamatkan pengajian di UPM, beliau mula bekerja sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye dari tahun 2008 hingga 2009. Beliau telah kembali ke kampung halamannya, Sungai Petani, Kedah pada tahun 2010 dan dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani sehingga beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah

Pada 5 Mei 2013, Simon buat pertama sekali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dan telah memenangi kerusi DUN Bakar Arang di Kedah. Kerusinya berjaya dipertahankan sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018 dengan kemenangan jumlah majoriti yang lebih tinggi berbanding dengan keputusan terdahulunya. Pada masa yang sama, Pakatan Harapan berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri di Kedah dengan kemenangan 18 kerusi DUN dalam pilihan raya peringkat negeri.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah

Selepas Pakatan Harapan berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Kedah melalui kemenangan majoriti Pilihan Raya Umum Ke-14, Simon yang mewakili PKR telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO). Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah menjadi Pengerusi bagi Jawatankuasa Alam Sekitar, Sains dan Teknologi; serta Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam. Namun, kerajaan negeri Pakatan Harapan telah dijatuhkan pada Mei 2020 selepas Langkah Sheraton, dimana beliau menamatkan perkhidmatannya dan kembali menjadi ADUN pembangkang.

Parti Keadilan Rakyat

Sebelum tahun 2018, Simon pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah. Selepas pemilihan parti pada tahun 2018, beliau telah dilantik sebagai bendahari AMK di peringkat pusat dan Naib Pengerusi PKR di negeri Kedah. Dalam Pemilihan Keadilan 2022 yang lalu, beliau telah bersaing dengan Dato Johari Abdul dan berjaya memenangi jawatan Ketua Cabang Sungai Petani. Manakala dalam pemilihan peringkat pusat, beliau telah bertanding bersama 73 orang calon yang lain untuk jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat. Beliau telah berjaya mendapat 703 undi, menjadikan beliau antara 20 calon yang mendapat jumlah undi tertinggi. Beliau turut dilantik sebagai Naib Pengerusi PKR di negeri Kedah.

Berkaitan